Maklumat KGSK

Kumpulan Guru Simpanan  Kebangsaan - KGSK

 


PENDAHULUAN

Keperluan guru ganti di sekolah menjadi semakin penting berikutan pelaksanaan beberapa dasar Kementerian Pendidikan Malaysia seperti pelaksanaan pengajaran pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di mana guru yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dikehendaki mengikuti kursus. Ini menyebabkan guru meninggalkan bilik darjah sama ada sebagai peserta kursus atau tenaga pengajar/jurulatih.

            Selain itu, dasar penempatan 50% guru siswazah di sekolah rendah menjelang tahun 2010 melibatkan ramai guru bukan siswazah (PPPBS) yang sedang berkhidmat perlu disiswazahkan. Semasa guru-guru ini menghadiri kursus sepenuh masa seperti Pra Program Khas Pensiswazahan Guru (Pra PKPG) selama 14 minggu di maktab-maktab perguruan, guru ganti diperlukan bagi mengisi kekosongan yang bersifat sementara di sekolah-sekolah terlibat.

            Pihak sekolah mengamalkan pengambilan guru ganti yang kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan ikhtisas. Namun, dengan adanya Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK) ini diharapkan masalah pengambilan guru ganti yang tidak berpengalaman akan dapat dikurangkan. Pelaksanaan KGSK juga akan dapat membantu amalan pengambilan guru ganti semasa guru wanita mengambil cuti bersalin selama 60 hari. Perangkaan menunjukkan bilangan guru wanita mengatasi guru lelaki dengan nisbah 2:1.

            Tujuan Panduan ini adalah untuk memberi gambaran dan garis panduan sekolah bagi melaksanakan program Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK) ini dengan berkesan. Semoga kandungan dalam panduan ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak bagi melaksanakan program pengambilan guru ganti yang berkualiti.

Sekian, terima kasih.

 

 

LATAR BELAKANG


Kekosongan sementara berlaku di sekolah apabila guru-guru terlatih bercuti bersalin atau mengikuti kursus jangka pendek. Bagi mengatasi kekosongan sementara ini, guru ganti yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar lepasan SPM atau STPM yang tidak memiliki latihan ikhtisas telah dilantik secara kontrak.

           Sekolah dibenarkan mengambil guru ganti sekiranya terdapat kekosongan sekurang-kurangnya 28 hari. Kekosongan sementara yang wujud apabila guru berkursus jangka pendek tidak dapat diisi oleh guru ganti.

           Oleh yang demikian, beberapa rentetan siri mesyuarat di peringkat tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia akhirnya telah meluluskan pelaksanaan KGSK. Persidangan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1-4 November 2002 telah meluluskan satu resolusi ke arah penubuhan Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK).

           Mesyuarat Hal-hal Profesional Bil. 01/2003 yang dipengerusikan oleh KPPM pada bulan Mac 2003 juga adalah berkaitan dengan pelaksanaan ini. Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 31/2003 yang dipengerusikan oleh KSU memutuskan supaya projek rintis diadakan di daerah Batu Pahat dan Muar, Johor Darul Takzim.

            Mesyuarat Memperkasakan SK dan Pengurusan SAR Bil.12/2004 bertarikh 4 Feb 2004 yang dipengerusikan oleh KPPM telah meminta projek rintis dijalankan juga di negeri-negeri lain ; WP Kuala Lumpur; Jempol, Kuala Pilah, Jelebu di Negeri Sembilan dan Nabawan, Pensiangan di Sabah. Kertas makluman KGSK juga telah dibentangkan di mesyuarat Pengarah-Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri 2004 yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Cadangan yang dikemukakan bagi penubuhan KGSK ini telah mendapat sambutan positif memandangkan keperluan guru ganti di sekolah di bawah pentadbiran KPM yang semakin mendesak.

OBJEKTIF KGSK

Objektif pelaksanaan KGSK adalah bagi mengatasi kekurangan sementara guru di sekolah apabila terdapat ketiadaan guru yang selama ini diisi dengan guru ganti yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas atau pengalaman. Contoh ketiadaan guru:

  1. Guru Cuti Menunaikan Haji

  2. Guru Cuti Sakit

  3. Guru Cuti Bersalin

  4. Guru Cuti Rehat Khas

  5. Guru Cuti Tanpa Gaji

  6. Guru Bertugas Dalam Ko-kurikulum / Ko-akademiK

  7. Guru Kursus Dalam Perkhidmatan

KEAHLIAN

Ahli dari kalangan KGSK terdiri dari mereka yang mempunyai pengalaman mengajar mengikut kategori berikut:
i. Guru Bersara Wajib / Pilihan
   1. Pesara Guru Siswazah (SW)
   2. Pesara Guru Bukan Siswazah (BS)
   (* Sijil Ikhtisas , SPM / STPM / Ijazah perlu dikemukakan semasa permohonan)

ii. Pemegang Kelayakan Ikhtisas Perguruan (Tiada lantikan SPP : Tidak ditempatkan)
   1.Siswazah dengan pendidikan;
   (SW1Kep) Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian , (SW1Am) Ganeral Degree
   2. Diploma pendidikan (BS1)
   (* Sijil Ikhtisas , SPM / STPM / Ijazah perlu dikemukakan semasa permohonan)

Keahlian KGSK

Ahli dari kalangan KGSK terdiri dari mereka yang mempunyai pengalaman mengajar mengikut kategori berikut:

A. Guru Bersara Wajib / Pilihan
i) Pesara Guru Siswazah
ii) Pesara Guru Bukan Siswazah

B. Pemegang Kelayakan Ikhtisas Perguruan
i) Siswazah dengan pendidikan
ii) Diploma pendidikan

C. Bekas GSTT Sekurang-kurangnya 1 tahun
i) Bekas GSTT Siswazah
ii) Bekas GSTT STPM/Diploma
iii) Bekas GSTT SPM

SYARAT LANTIKAN

  1. Guru ganti KGSK yang dilantik adalah bertaraf sambilan dari hari ke hari dan tempoh   perkhidmatan akan tamat dengan sendirinya apabila guru yang diganti kembali mengajar.

  2. Guru ganti KGSK bukan kakitangan kerajaan serta tidak layak menerima apa jua faedah atau kemudahan kecuali elaun yang akan dibayar mengikut kadar harian dibayar atas hari-hari bekerja sahaja.

  3. Walaupun bertaraf bukan kakitangan kerajaan, mereka adalah sentiasa tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran sebagai majikan mereka dan boleh ditamatkan perkhidmatannya pada bila-bila masa tanpa diberi sebarang alasan selepas diberi notis satu hari secara bertulis.

  4. Sihat tubuh badan dan bagi umur yang melebihi 65 tahun mesti mendapat kebenaran khas BSM serta membuat pemeriksaan doktor.

KUASA MELANTIK

  1. Pejabat Pendidikan Daerah diberi kuasa untuk melantik guru ganti dari kalangan ahli KGSK yang diperlukan oleh sesebuah sekolah dalam daerah berkenaan.

  2. Walaubagaimanapun sekolah boleh mencadangkan kepada PPD calon dari kalangan ahli KGSK yang layak dan bersesuaian dengan opsyen yang diperlukan di sekolah tersebut.

PENEMPATAN

Sekiranya terdapat lebih dari seorang calon ahli KGSK yang sesuai ditempatkan sebagai guru ganti di sesebuah sekolah yang memerlukan, pemilihan dibuat berdasarkan kepada keutamaan berikut:

  1. Opsyen yang tepat atau bersesuaian seperti dikehendaki oleh pihak sekolah

  2. Jarak terdekat dari tempat bertugas

  3. Ahli KGSK yang berpengalaman di sekolah menengah akan bertugas di sekolah menengah dan sebaliknya sekolah rendah akan bertugas di sekolah rendah.

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB

  1. Masa bertugas Guru Ganti KGSK bukan waktu kerja pejabat seperti yang telah ditetapkan dalam Perintah Am bab ‘G’ tetapi sekiranya keadaan memerlukan ia boleh diarah untuk bekerja lebih masa pada masa-masa yang ditetapkan dan ia juga perlu mematuhi segala peraturan kerja pejabat dan arahan-arahan yang sedang berjalan atau peraturan-peraturan serta arahan-arahan lain yang mungkin dibuat dari masa ke masa.

  2. Buku persediaan mengajar dan rekod-rekod pelajar perlu disediakan dan diselia seperti yang dilaksanakan oleh guru yang digantikan disamping melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seperti guru tetap.

GAJI DAN ELAUN

  1. Segala bayaran elaun bagi guru ganti KGSK diuruskan oleh PPD atau Sekolah PTJ sebagai Pusat Tanggungjawab.

  2. Merujuk surat JPA (Bahagian Gaji & Elaun) bertarikh 4 Disember 2007 JPA(S)(BGE) 63/75 Klt.5/(43) elaun harian guru ganti KGSK adalah:

    •         Lepasan Ijazah    = RM 150.00

    •         Lepasan Diploma = RM 110.00

PANDUAN TINDAKAN & PROSES KERJA PEMBAYARAN ELAUN KGSK

 

BIL

PERKARA

JANGKA MASA

TINDAKAN

1.

Guru melapor diri dan menyerahkan surat tawaran perkhidmatan guru ganti dan pengambilan guru ganti

Hari pertama melapor diri

Guru

2.

Menyerahkan kepada guru:


Hari pertama melapor diri


Pengetua/ Guru Besar

2.1

Borang Penerimaan Tawaran

3.

Melengkapkan dan menyerahkan semula dokumen berikut ke sekolah:

2 hari selepas melapor diri

Guru

3.1

Borang Penerimaan Tawaran

3.2

Salinan Kad Pengenalan

3.3

Salinan Buku Bank

3.4

Salinan Sijil Akademik/Ikhtisas

3.5

 

4.

Urusan menyedia dan menyerahkan dokumen berikut ke PPD untuk kelulusan:

2 – 5 hari selepas akhir bulan dan dokumen lengkap diterima daripada guru

Pengetua/ Guru Besar

4.1

Kelulusan Kew&Lantikan

 

4.1.1

4 salinan Kew 8

 

4.1.2

1 salinan surat tawaran

 

4.1.3

1 salinan surat pengambilan guru

 

4.1.4

1 salinan borang penerimaan tawaran

 

4.1.5

1 salinan sijil akademik/ikhtisas

 

4.1.6

1 salinan kenyataan/rekod kehadiran

4.2

3 salinan baucar bayaran beserta dokumen berikut:

 

4.2.1

1 Kew 8 (asal)

 

4.2.2

1 salinan Borang  A KWSP

 

4.2.3

1 salinan No. Ahli KWSP

 

4.2.4

1 salinan tawaran

 

4.2.5

1 salinan borang penerimaan tawaran

 

4.2.6

1 salinan kad pengenalan

5.

5.1

Menyemak dan melulus Kew 8 serta mengembalikan Kew 8 ke sekolah

2 – 5 hari setelah menerima dokumen

PPD

6.

6.1

Menyemak dan mengesahkan baucar bayaran

2 – 5 hari setelah menerima dokumen

PPD

6.2

Menghantar ke Jabatan Akauntan Negara Cawangan/Pejabat Perakaunan masing-masing

 

PEMANTAUAN

Bagi memastikan program KGSK ini berjalan dengan berkesan, aspek pemantauan berikut perlu dilaksanakan di peringkat daerah:

i. Pemantauan Pembayaran gaji dan elaun
           Aspek pemantuan yang dilaksanakan melalui semakan dokumen yang dihantar oleh pihak sekolah ke PPD seperti Kew. 8 dan Rekod Kehadiran Guru Ganti KGSK pada setiap bulan serta penyediaan boucer pembayaran. Pemantauan ini perlu bagi memastikan segala urusan pembayaran gaji dapat dibuat pada setiap bulan.

ii. Pemantauan Prestasi Pengajaran & Pembelajaran
           Bagi memastikan prestasi guru ganti KGSK pada tahap yang optimum pemantauan aspek berikut perlu dilaksanakan:

A. Perancangan dan Pelaksanaan P&P

  1. Persediaan Guru

  2. Strategi dan Kaedah digunakan

  3. Penggunaan dan kesesuaian bahan bantu

  4. Penerapan nilai murni

  5. Pencapaian objektif pembelajaran

B. Profesionalisme Guru

  1. Pengetahuan isi kandungan mata pelajaran

  2. Kesediaan membimbing dan menunjuk ajar

  3. Menggalakkan pembelajaran aktif

  4. Kawalan kelas

  5. Kepelbagaian sumber ilmu guru

C. Sikap dan Sahsiah Guru

  1. Berpakaian kemas dan bersesuaian

  2. Bersopan santun dan berbudi bahasa

  3. Bersikap positif

  4. Keperihatinan terhadap murid

  5. Hubungan dengan rakan sejawat

PERMOHONAN AHLI KGSK

  1. Sekolah digalakkan mengiklankan khidmat guru ganti KGSK kepada kategori calon ahli yang layak di kawasan komuniti setempat termasuk warga sekolah bagi memastikan bekalan guru ganti sentiasa mencukupi.Permohonan perlu menggunakan borang rasmi yang dibekalkan. Bantu calon bagi melengkapkan borang untuk menjadi ahli KGSK.

  2. Semua permohonan perlu disertakan dengan sijil ikhtisas, SPM atau STPM atau Ijazah bagi calon pesara guru atau mereka yang pernah mendapat latihan perguruan.

  3. Bagi permohonan di kalangan calon yang pernah berkhidmat sebagai GSTT perlu mengemukakan surat tawaran GSTT dan sijil SPM atau STPM atau Ijazah.

  4. Bantu calon untuk mengemukakan permohonan melalui sekolah ke PPD.

  5. Permintaan Guru Ganti KGSK

  6. Sila Gunakan Borang Permintaan Guru Ganti KGSK yang disediakan.

  7. Sila Gunakan satu borang bagi satu permintaan guru ganti.

  8. Sila nyatakan butiran sekolah, bilangan guru kelas dan murid, butiran guru yang bercuti atau tiada dengan lengkap dan jelas.

  9. Pihak sekolah dilarang melantik guru ganti KGSK sebaliknya digalakkan dan boleh mencadangkan ahli KGSK yang sesuai dengan opsyen yang diminta. Jika ada cadangan sila tuliskan pada ruangan ’ Lain-lain hal yang hendak dimaklumkan’.

  10. Sila lampirkan dokumen sokongan yang disahkan dan mengandungi butir-butir ketiadaan guru dan tempoh seperti surat cuti, surat panggilan kursus dan sebagainya.

  11. Sila kemukakan permohonan dengan kadar segera setelah semua dokumen sokongan diperolehi.

  12. Guru Ganti KGSK di Sekolah

  13. Sila terima semua guru ganti KGSK yang telah dilantik pada hari pertama ia melapor diri.

  14. Serahkan surat tawaran dan borang setuju terima tawaran untuk ditandatangani oleh guru ganti KGSK.

  15. Sila maklumkan ke PPD jika terdapat sebarang kesulitan dan masalah yang timbul.

  16. Rekodkan kehadiran dalam buku kehadiran sekolah dan borang kehadiran guru ganti KGSK.

  17. Tentukan matapelajaran dan kelas yang akan diajar dan serahkan buku persediaan mengajar guru yang digantikan.

  18. Sediakan Kew. 8 dalam 4 salinan seberapa segera dari guru ganti KGSK melapor diri dan hantar ke Pegawai Khas KGSK PPD beserta salinan surat lantikan dan surat setuju terima untuk semakan dan kelulusan. Pastikan butiran Kew 8 dibuat berdasarkan contoh yang dibekalkan.

  19. Sediakan dokumen pembayaran mengikut peraturan kewangan sebelum 25 haribulan pada setiap bulan dan hantar ke Unit Kewangan PPD (PTJ PPD) untuk diproses.

  20. Pastikan guru ganti KGSK menerima bayaran gaji pada setiap bulan (berikutnya) sepanjang ia berkhidmat dan tidak digalakkan daripada mengumpul semua bayaran pada bulan terakhir perkhidmatan kerana ia akan memberi implikasi kepada peruntukan kewangan di samping memberi kesulitan kepada guru tersebut.

  21. Sila hantar satu salinan rekod kehadiran guru ganti KGSK kepada Pegawai Khas KGSK PPD bagi tujuan rekod perkhidmatan dalam fail peribadi ahli KGSK Pentadbiran sekolah dikehendaki membuat pemantauan prestasi guru ganti KGSK berdasarkan borang prestasi yang dibekalkan secara bijaksana mengikut kesesuaian masa. Laporan prestasi pemantauan ini akan diguna dalam pertimbangan perlantikan guru ganti KGSK tersebut seterusnya.

  22. Beri bantuan yang sewajarnya kepada guru ganti KGSK terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

BORANG KEPERLUAN

Semua borang keperluan pengurusan KGSK boleh dimuat turun melalui laman web KGSK PERAK di http://kgskperak.yolasite.com seperti berikut:

  1. Borang permohonan menjadi ahli

  2. Borang permohonan menjadi ahli melebihi umur 65 tahun

  3. Borang permintaan guru ganti KGSK sekolah

  4. Borang setuju terima tawaran penempatan guru ganti KGSK

  5. Rekod kehadiran guru ganti KGSK

  6. Panduan Proses Pembayaran elaun guru ganti KGSK

PENUTUP

             Melihat dari keperluan ini segala perubahan dan penambahbaikan perlulah menjurus kepada peningkatan pengurusan KGSK yang lebih tersusun dan teratur disamping memastikan kualiti ahli KGSK berada pada tahap yang cemerlang gabungan guru lama yang berpengalaman dan guru baru yang bermotivasi tinggi. Adalah diharapkan dan apa yang lebih utama semoga penglibatan guru ganti KGSK ini akan membantu mengangkat prestasi akademik sekolah pada tahap yang lebih cemerlang.

            Walaupun terdapat halangan dan cabaran dalam melaksanakan guru ganti, ia boleh dianggap suatu yang bersifat sementara berbanding keperluan KGSK yang telah menunjukkan peningkatan yang amat ketara dan amat membantu pihak sekolah untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya ketika ketiadaaan guru di sekolah. Guru KGSK terutamanya pesara guru bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah ketiadaan guru di sekolah bahkan menjadi sumber rujukkan guru di sekolah ia ditempatkan.

 

 



  

 




 

 
 


 

This free website was made using Yola.

No HTML skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola